PROGRAM RELEASE TENTION

Tuesday, July 20, 2010

PROGRAM PPDa - CERITA TELADAN


HATI-HATI MEMILIH KAWAN

Hadi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Nirwana. Dia seorang murid yang pendiam
tetapi pintar dalam pelajaran di sekolahnya. Hadi ialah anak tunggal dalam sebuah keluarga
yang sederhana. Dia sering ditinggalkan bersendirian kerana ibu bapanya sibuk dengan urusan
di luar. Dunianya cuma di rumah, bertemankan buku-buku dan bermain komputer. Sesekali, dia
bermain basikal di kawasan rumahnya. Hadi senang dengan kehidupan sedemikian.
Pada suatu malam, ibu bapa Hadi tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri.
Kawan sekolah Hadi bernama Karim datang mengajaknya keluar berjalan-jalan tetapi Hadi
menolak pelawaan tersebut. Karim terus memujuk Hadi.
Setelah dipujuk berkali-kali, akhirnya Hadi bersetuju untuk keluar mengikut Karim
berjalan-jalan. Setiba sahaja mereka di persimpangan jalan, Karim mengajak Hadi untuk
melepak bersama kawan-kawannya yang telah sedia menunggu di sebuah pondok di situ.
Sebenarnya, Karim dan kawan-kawannya mempunyai niat jahat terhadap Hadi. Minuman yang
disediakan untuk Hadi telah dicampurkan dengan sejenis dadah berbahaya yang dicuri daripada
abang Karim yang sememangnya seorang penagih dadah. Tanpa mengetahui niat sebenar
Karim, Hadi terus meneguk minuman tersebut.
Tidak lama selepas itu, Hadi mula berkhayal dan meracau-racau. Dengan tidak disangkasangka,
sebuah kereta peronda melalui simpang tersebut. Karim dan rakan-rakannya lari
bertempiaran menyelamatkan diri, meninggalkan Hadi sendirian. Kereta peronda polis berhenti
di tepi pondok tersebut apabila melihat keadaan Hadi yang mencurigakan. Hadi yang sedang
khayal ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.
Ibu bapa Hadi dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan. Pihak polis mendapati
bahawa Hadi telah dianiayai oleh rakan-rakannya. Hadi dibebaskan dengan syarat dia diletakkan
di bawah pengawasan ibu bapanya.
Pada keesokan hari, Karim, rakan-rakannya dan ibu bapa mereka telah dipanggil ke balai
polis untuk memberi keterangan. Mereka didapati bersalah. Abang Karim pula telah diberkas
oleh pihak polis dan dihantar ke pusat pemulihan. Ibu bapa mereka berasa amat malu dan
berjanji akan memastikan anak mereka berkelakuan baik.
Hadi berasa amat kesal kerana terpengaruh dengan ajakan Karim. Namun, ibu bapa Hadi
tetap memberikan sokongan kepadanya dan mereka berjanji tidak akan meninggalkannya
bersendirian di rumah. Hadi amat bersyukur kerana dia terselamat daripada terjebak dengan
najis dadah.
Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati memilih kawan dan setiap perbuatan pasti akan
menerima balasan yang setimpal.

No comments:

Post a Comment